MIRI, 15 April: Lawatan sulung sempena Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri 2025 ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sunflower Centre hari ini menjadi simbol komitmen padu dalam memperkukuh sokongan kepada komuniti kurang upaya di bandar ini.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, lawatan oleh Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak itu adalah kali pertama diadakan ke pusat berkenaan dan turut disertai oleh wakil masyarakat Iban daerah Miri serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya juga telah dimaklumkan oleh Pengerusi Pengelola, ini adalah lawatan yang pertama, Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak ke PDK Sunflower,” katanya ketika berucap dalam program tersebut di sini, hari ini.
Menurutnya, sumbangan berupa 10 meja dan 50 kerusi telah diberikan kepada pusat itu oleh ketua masyarakat Iban daerah Miri sebagai tanda sokongan terhadap keperluan fasiliti pusat berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembantu, persatuan kaum masyarakat Iban dan juga jawatankuasa Gawai kerana ini adalah satu daripada usaha kita untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan,” tambahnya.
Galong turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif pelbagai NGO di Miri yang sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam membantu golongan rentan.
“Saya juga faham, Miri ini banyak NGO yang aktif dalam membantu kerajaan termasuk kami di Pejabat Residen. Melalui pengalaman saya yang baru bertugas di Miri, saya nampak usaha-usaha sebegini perlu kita teruskan untuk membantu masyarakat kita. Tak kira bangsa, tak kira agama, tak kira suku kaum dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau turut berharap inisiatif seumpama ini akan diteruskan dalam sambutan perayaan lain, bukan sekadar terhad kepada Gawai Dayak.
“Saya berharap bukan sahaja di masa perayaan Gawai Dayak, tetapi perayaan lain juga, NGO boleh datang membantu mereka yang kurang bernasib baik macam kita,” katanya.
Dalam pada itu, Galong turut memaklumkan bahawa sebuah lagi inisiatif baharu bakal diwujudkan bagi membantu golongan gelandangan di bandar Miri.
“Saya difahamkan oleh YB Dato Sri Hajah Fatimah, ada lagi satu NGO yang akan disiapkan perjalanannya di belakang bangunan Pejabat Residen lama, iaitu Pusat Gelandangan. Untuk membantu mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal di bandar ini. Tetapi, tidak semua orang layak untuk tinggal di situ. Yang layak adalah mereka yang memenuhi kriteria-kriteria,” ujarnya.
Lawatan itu sekali gus menjadi cerminan kepedulian sosial yang semakin kukuh dalam masyarakat Miri, sejajar dengan aspirasi negeri dalam membina komuniti inklusif dan prihatin. – TVS