KUALA LUMPUR, 15 April: Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar memzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan beliau sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Menurut Syed Hamid negara kehilangan seorang pemimpin yang baik dan cukup berdedikasi kepada tugas dengan penyampaian sederhana terutama ketika membawa imej Islam Hadari semasa era pentadbirannya.
“Allahyarham bercakap berkenaan kegemilangan, kecemerlangan dan terbilang. Jadi cara pendekatan dia mesra kepada rakyat, pentadbiran dan pengurusan.
“Banyak keberanian yang dibawa, yang membawa kepada kebaikan dan kebebasan. Kita hilang seorang pemimpin yang amat baik hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman Tun Abdullah di Baid Badawi di sini, hari ini.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Syed Hamid berkata,Tun Abdullah dihormati pemimpin luar dengan mengamalkan pendekatan yang tidak agresif.
“Bukan sahaja dia seorang bos, tapi dia seorang kawan dan sahabat.
“Saya tengok pemimpin luar pun mesra dengan dia, ” katanya.
Tun Abdullah yang sinonim dengan panggilan ‘Pak Lah’ meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 7.10 malam semalam.
Jenazah akan dikebumikan di Makam Pahlawan hari ini selepas solat Zohor. – TVS.