KUCHING, 15 April: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus mengorak langkah dalam inisiatif bandar mesra kanak-kanak dengan pelantikan enam ahli baharu Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan (MKKS) dalam satu majlis angkat sumpah yang berlangsung di Dewan Mesyuarat MBKS, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, yang turut menyambut kehadiran enam ahli baharu tersebut.
Pelantikan ini menjadikan keseluruhan keanggotaan MKKS seramai 23 orang, termasuk 17 ahli sedia ada.
MKKS yang ditubuhkan pada 10 Ogos 2024 merupakan yang pertama seumpamanya di Borneo, dan memainkan peranan penting dalam memperkasakan penyertaan kanak-kanak dalam pembangunan masyarakat.
Dalam ucapannya, Dato Wee mengucapkan tahniah kepada semua ahli baharu dan menegaskan komitmen MBKS untuk terus memberi ruang kepada suara generasi muda dalam pentadbiran bandar.
“Pemilihan anda bukan secara kebetulan. Ia berdasarkan potensi kepimpinan dan kesediaan anda untuk bersuara bagi pihak rakan-rakan sebaya di bandar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menekankan bahawa MKKS bukan sekadar inisiatif simbolik, tetapi sebuah platform yang memberi ruang sebenar kepada kanak-kanak untuk didengari.
“Sejak penubuhannya, MKKS telah menyumbangkan pelbagai pandangan bernas dalam usaha menambah baik ruang awam seperti taman, laluan pejalan kaki dan kemudahan mesra kanak-kanak di sekitar Kuching Selatan.
“Kepimpinan sebenar ialah apabila kita mampu mendengar dengan empati dan bertindak demi kepentingan bersama,” ujarnya lagi.
Beliau turut menggalakkan semua ahli MKKS untuk memanfaatkan kekuatan masing-masin, sama ada dalam komunikasi, kreativiti, perancangan mahupun pemerhatian bagi menyumbang kepada matlamat bersama.
“Majlis ini bukan tentang persaingan, tetapi kerjasama. Setiap orang ada peranan, dan setiap sumbangan itu penting,” tambahnya.
Dato Wee juga merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan yang diberikan, serta mengiktiraf jasa 17 ahli asal yang telah meletakkan asas kepada pembentukan bandar yang lebih inklusif dan responsif terhadap kanak-kanak. -TVS