Miri, 15 Apr: Semangat kesukanan dan perpaduan jelas terpancar semasa Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang yang berlangsung penuh warna-warni dan semangat juang tinggi dalam kalangan pelajar dan guru-guru.
Salah seorang gurunya, Ammar Yusri berkongsi bahawa pihak sekolah telah mengadakan pelbagai persiapan termasuk mesyuarat dan raptai kejohanan bagi memastikan kelancaran acara.
“Harapan kami sebagai cikgu-cikgu, semoga cuaca mengizinkan dan semua acara dapat dijalankan dengan baik. Kepada semua pelajar, selamat bertanding dan semoga kejayaan menanti anda,” katanya ketika ditemui TVS pada kejohanan Padang dan Balapan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Kali ke-58 Tahun 2025 di Stadium Terbuka Terbuka, Miri, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi guru, Ros Poyang Jok selaku Setiausaha Kurikulum dan jurulatih olahraga turut memainkan peranan penting sebagai penyelaras kejohanan.
“Kami hanya ada seminggu untuk membuat persediaan, namun dengan kerjasama guru-guru dan pelajar, semuanya berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Tambah beliau, kejohanan ini turut menjadi medan pencarian bakat baharu bagi mewakili sekolah ke Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Miri yang dijadualkan pada 6 Mei ini.
“Tahun lepas, kami mendapat tempat kedua daripada 31 buah sekolah. Tahun ini, kami berazam untuk mempertahankan kedudukan itu atau mungkin mencipta kejayaan lebih besar,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar Kejohanan Olahraga Tahunan ini bukan sahaja menjadi pentas mencungkil bakat tetapi juga wadah memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Semoga kejohanan ini memberi inspirasi dan peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menggantikan pelajar senior yang akan menamatkan pengajian mereka,” tambahnya. – TVS