MIRI, 15 Apr: Kejohanan Olahraga Sekolah bukan sekadar medan pertandingan malahan menjadi landasan penting dalam membentuk semangat juang, disiplin dan kerjasama dalam kalangan murid.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Toh Kah Shiong berkata, sukan seperti ini bukan sahaja mampu mencungkil bakat-bakat atlet muda yang terpendam tetapi juga sebagai platform memupuk silaturahim serta semangat kesukanan dalam suasana yang sihat dan positif.
“Kita bukan hanya bersaing untuk menjadi juara, tetapi juga belajar menghargai nilai-nilai murni seperti semangat berpasukan dan saling menghormati,” katanya ketika merasmikan kejohanan Padang dan Balapan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Kali ke-58 Tahun 2025 di Stadium Terbuka Terbuka, Miri, hari ini.
Toh turut mengaitkan semangat perjuangan yang harus ditanam dalam diri para atlet dengan nama rumah sukan yang digunakan dalam kejohanan itu seperti Patinggi Ali, Panglima Seman, Rosli Dhobi dan Rentap iaitu tokoh-tokoh pahlawan terkenal dari Sarawak.
“Saya yakin murid-murid mampu berjuang sebaik mungkin dalam acara masing-masing, seperti semangat yang pernah ditunjukkan oleh pahlawan kita,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam membina keperibadian unggul seorang murid sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan.
“Disiplin itu penting. Ia membentuk cara hidup kita iaitu bangun awal, tidur awal, berlatih secara konsisten. Saya harap murid-murid semua menjadikan nilai disiplin ini sebagai pegangan sepanjang hayat,” ujarnya.
Toh turut merakamkan penghargaan kepada semua warga pendidik khususnya guru-guru yang terlibat dalam penganjuran Kejohanan Olahraga kali ke-58 ini. – TVS