JAKARTA, 15 Apr: Lembaga Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melancarkan jerayawara di Indonesia hari ini bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis pelancaran ini dianjurkan bagi memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan di pasaran Indonesia.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, Indonesia merupakan pasaran utama bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana kedudukannya sebagai salah satu negara penyumbang tertinggi kemasukan pelancong ke Malaysia.
“Selain memperkenalkan kempen ini, Kementerian Pelancongan telah mengarahkan agar promosi secara agresif dilaksanakan memandangkan pasaran Indonesia merupakan antara penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan Malaysia,” katanya.
Jerayawara ini juga dijangka dapat menggalakkan kerjasama antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara, apabila dihadiri oleh lebih 200 pemain industri pelancongan tempatan serta 35 syarikat pelancongan dari Malaysia.
Sebanyak empat bandar di Indonesia akan menjadi destinasi jerayawara kali ini, iaitu Jakarta, Medan, Surabaya dan Yogyakarta.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin, serta Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Hairi Mohd Yakzan. -TVS