KUALA LUMPUR, 15 April: Jenazah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di bawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi ini.
Jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Bait Badawi, di sini pada jam 8.20 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.
Terdahulu van jenazah yang membawa Allahyarham tiba di kediamannya pada jam 6.40 pagi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof antara pemimpin kerajaan yang dilihat tiba menziarahi jenazah Allahyarham pada pagi ini.
Turut kelihatan beberapa ahli keluarga terdekat Allahyarham memasuki kediaman bekas pemimpin negara itu antaranya ialah bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin yang tiba pada jam 7.10 pagi dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Semalam beberapa tokoh kenamaan hadir ke kediaman Allahyarham untuk memberikan penghormatan terakhir, antaranya bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosy bersama exco-exco kerajaan negeri.
Turut hadir beberapa bekas menteri dalam Kerajaan Persekutuan, antaranya Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Annuar Musa.
Tun Abdullah yang sinonim dengan panggilan ‘Pak Lah’ meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 7:10 malam semalam.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allhyarham menjadi Perdana Menteri bermula 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. – TVS.