MIRI, 15 Apr: Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang kali ke-58 menyaksikan kemunculan dua bintang muda yang menyerlah dalam acara balapan, masing-masing mempersembahkan potensi besar untuk dibawa ke pentas yang lebih tinggi.
Pelajarnya, Benedict Tivez Juli berkata, penyertaannya dalam acara tersebut adalah demi mencontohi dan mengambil inspirasi daripada atlet kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian.
“Saya ambil 110 pagar ini sebab saya ingin menginspirasikan Rayzam Shah, atlet Sukan SEA Malaysia. Sebab dia memegang rekod 110 pagar Malaysia dan impian saya, saya ingin menyertai SUKMA pada tahun depan di Selangor,” katanya ketika ditemui TVS pada kejohanan Padang dan Balapan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Kali ke-58 Tahun 2025 di Stadium Terbuka Miri, hari ini.
Benedict turut menyatakan aspirasinya untuk mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan memberi fokus kepada acara oktaklon.
Sementara itu, Seraphine Maximillan mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul juara meskipun tidak menjalani latihan intensif sebelum kejohanan.
“Memang saya tak sangka boleh menang sebab saya tiada latihan langsung, tapi bagi saya mindset itu yang paling penting. Kalau kita kalah dengan fikiran kita sendiri, memang susah nak perform,” katanya. – TVS