KUCHING, 15 April: Pemergian ‘Bapa Pembangunan Modal Insan Negara’ yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Isnin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan pemimpin Sarawak turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, merupakan seorang pemimpin yang begitu tenang, bersederhana dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan serta perpaduan rakyat.
“Beliau memiliki personaliti yang begitu mesra dan senang didekati. Aura tenang dan perasan kasih-sayang itu dapat kita lihat jelas terpancar setiap kali kita berjumpa dalam mesyuarat. Jadi, pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar,” ujarnya ketika mengimbau kenangan bertugas di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kuching pada Selasa.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad turut mengenang jasa besar Allahyarham Tun Abdullah dalam mengeratkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Allahyarham Tun Abdullah memang amat dihormati di Brunei Darussalam kerana peranannya dalam merapatkan hubungan dua hala di antara Malaysia dengan Brunei. Orang-orang Brunei tidak akan melupakan segala jasa Allahyarham Tun dalam merapatkan hubungan dua hala ini,” katanya.
Untuk rekod, sumbangan Allahyarham Pak Lah dalam pembangunan negara dan pemerkasaan nilai Islam Hadhari selain penerapan pembangunan nilai-nilai murni dan modal insan dalam inipati Rancangan Malaysia Kesembilan, membuktikan bahawa Allahyarham mendahulukan rakyat dalam segala rencana untuk membangunkan negara.
Allahyarham Abdullah disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam semalam.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Dewan Solat Utama Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan selepas solat Zohor di Makam Pahlawan Masjid Negara, hari ini.-TVS