KUCHING, 15 April : Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) terus memperkukuh peranannya dalam memelihara dan memperkasakan warisan budaya Melayu di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif, termasuk projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak yang kini dalam perancangan.
Sehubungan itu, Lembaga Pemegang Amanah (LPA) AKYBMS pada Selasa telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, di sini bagi tujuan tersebut.
“Kunjungan tersebut bertujuan untuk membentangkan status dan perkembangan terkini AKYBMS serta membincangkan usaha memperkasa dan memelihara warisan budaya Melayu di Sarawak,”
“Selain itu, satu taklimat ringkas turut disampaikan kepada Yang di-Pertua Negeri mengenai projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak,” menurut kenyataan rasmi AKYBMS.
Delegasi AKYBMS diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi LPA AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Turut serta, Timbalan Pengerusi LPA, Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Ahli LPA, Dato Sri Haji Julaihi Haji Narawi, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dan Datuk Dr. Haji Wahbi Haji Junaidi.
Dalam kunjungan hormat itu, AKYBMS turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis SAMArindok Aidilfitri 2025 anjuran yayasan berkenaan yang dijadual berlangsung pada 23 April ini di Hotel Riverside Majestic, Kuching.
Turut hadir, Setiausaha LPA AKYBMS, Datu Haji Abdul Razak Tready, Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Konsultan Projek Wisma Melayu Sarawak, Ar. Ahmad Sura Awang dan Mohamad Afrizan Mohammed, serta kakitangan AKYBMS, Encik Amirul Akbar bin Osman. – TVS