KUCHING , 15 April: Sebanyak 11 jalan sekitar Stadium Perpaduan, di sini akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 pada 19 April ini.
Menurut kenyataan media rasmi Polis Diraja Malaysia pada Selasa, penutupan jalan akan bermula pada jam 8.30 pagi dan akan berkuat kuasa sehingga selesai acara.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah memaklumkan bahawa penutupan jalan melibatkan 11 laluan utama di sekitar Stadium Perpaduan, antaranya Bulatan Kesuma Resort, Persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari Jalan Stadium (hadapan dan belakang), serta simpang dari Jalan Diplomatik berhadapan Pusat Akuatik.
Turut terlibat ialah Jalan masuk ke Pusat Akuatik Pandelela Rinong (1 dan 2), Jalan masuk ke Padang Gasing, Jalan Diplomatik berhampiran Squash Centre, lorong masuk ke tempat letak bas bersebelahan Stadium Negeri dan Jalan Stadium (Ring) termasuk simpang ke parkir awam.
“Penutupan ini adalah bagi memastikan kelancaran majlis sambutan serta keselamatan orang awam yang hadir. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif,” katanya menerusi kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, kenderaan dari arah Bulatan Sesco dinasihatkan membuat pusingan ‘U’ di Bulatan Casuarina sebelum melalui Jalan Casuarina ke simpang Jalan Stadium (Ring), manakala kenderaan dari Jalan Diplomatik boleh terus ke kawasan parkir di belakang Stadium Sarawak.
Bagi laluan keluar, pengguna yang meletakkan kenderaan di kawasan Stadium Sarawak dinasihatkan keluar melalui Jalan Diplomatik ke arah Demak.
Sementara itu, pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Stadium (Ring) boleh keluar menghala ke Jalan Casuarina.
“Pihak PDRM juga memohon kerjasama semua pihak agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900. – TVS