KUCHING, 14 April: Etika dan tanggungjawab dalam mengendali media sosial sering diketepikan oleh pempengaruh dan pencipta kandungan dalam keghairahannya untuk meraih pengikut selain menaikkan populariti di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cakna akan senario ini dan serius dalam usaha untuk menangani hantaran yang bersifat provokatif juga sensitif, terutama kandungan berbaur hasutan dan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) yang boleh mencetuskan ancaman kepada keselamatan negara.
“Di bawah SKMM dan juga NADI, kami mempenyai kempen ‘Keselamatan Internet’ dan hasrat kami pada tahun ini adalah untuk menjelajah serta melakukan jangkauan kepada para pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah dan juga siswa-siswi di universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pending dan Padungan di sini, hari ini.
Menurutnya, tujuan program ini adalah untuk mendidik masyarakat kita tentang etika dan juga risiko dalam dunia digital.
Beliau turut menasihatkan pengguna Internet agar menggunakan ia dengan lebih beretika dan bertanggungjawab.
“Jangan salah guna fasiliti Internet yang telah disediakan dan dengan adanya akta-akta yang telah diperbaharui dan akta-akta baharu, kita akan memperketatkan undang-undang kita untuk pastikan kita bersiap-sedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu tetapi pada masa yang sama,” katanya.
Nie Ching berkata, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember 2024 dibuat kerana kerajaan bukanlah untuk menyekat kebebasan secara total.
Ia dilaksanakan sebagai usaha untuk melindungi serta memberi keadilan kepada pengguna media sosial daripada pihak yang mempunyai niat tidak baik dalam menggunakan platform media sosial untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Ujarnya, pindaan akta ini juga adalah langkah kerajaan dalam membendung usaha pempengaruh atau pencipta kandungan daripada berselindung di sebalik kebebasan bersuara, tanpa mengambil sebarang akauntabiliti atas kandungan jelik. – TVS