KUCHING, 14 April: Sukan Borneo dirancang untuk diadakan dua tahun sekali dan bergilir-gilir antara negeri dan negara yang terlibat di Borneo, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, mesyuarat persediaan telah dijalankan secara fizikal dan atas talian melibatkan dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam, Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur, yang menyatakan komitmen jangka panjang terhadap penganjuran secara berterusan.
“Sukan Borneo ini akan diteruskan penganjurannya secara gilir-giliran bersama-sama dengan negara Brunei, Darussalam Labuan, Sabah ataupun provinsi-provinsi di Kalimantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Sarawak dipilih sebagai tuan rumah edisi pemula untuk penganjuran semula Sukan Borneo, yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 28 September 2025.
Dalam pada itu, Abdul Karim dilantik sebagai penaung Majlis Tertinggi Sukan Borneo 2025, manakala Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu diumumkan sebagai pengerusi majlis berkenaan.
Ujar beliau, Majlis Tertinggi juga akan menubuhkan sekretariat khas yang akan menguruskan aspek teknikal dan perancangan lanjut menjelang temasya tersebut.