KUCHING, 14 April: Selepas lebih satu dekad menyepi, Sukan Borneo bakal kembali mewarnai arena sukan serantau apabila ia dijadual berlangsung pada 24 hingga 28 September 2025 dengan Sarawak menjadi tuan rumah untuk edisi pemula kebangkitan semula temasya ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran semula temasya ini dilihat sebagai langkah positif dalam merapatkan hubungan antara wilayah dan negara di Borneo serta sebagai platform pembangunan generasi baharu, khususnya dalam kalangan anak muda.
“Sukan Borneo pertama kali diadakan dalam tahun 1995 dan kali terkahir 2013 dan selepas itu tidak ada diadakan lagi dan kita dapat melihat bahawa dengan penganjuran sukan seperti ini, ia akan merapatkan hubungan silaturahim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, sebagai permulaan, lima acara sukan akan dipertandingkan iaitu olahraga, akuatik, boling padang, memanah, serta satu lagi sukan akan dimuktamadkan.
Mesyuarat awal penganjuran yang diadakan baru-baru ini menyaksikan penglibatan wakil dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam, Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur dengan sebahagian besar hadir secara fizikal dan selebihnya menerusi sidang video.