KUCHING, 14 April: Sarawak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kerjasama dua hala melibatkan bidang air bersama Singapore Water Association (SWA).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, SWA mempunyai idea kolaborasi yang baik untuk memaksimumkan penggunaan air selain daripada untuk kegunaan harian seperti minuman dan kerja-kerja rumah.
Katanya, sekiranya rangkaian keseluruhan penggunaan air dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai tujuan, ia mampu membantu menghasilkan pendapatan yang baik termasuk dalam penghasilan tenaga serta sektor pengangkutan .
“Mereka mempunyai beberapa idea kerana air bukan sahaja untuk minum, bukan hanya untuk mandi kerana orang ramai akan melihatnya seperti itu tetapi sebenarnya, air boleh menjadi sumber pendapatan yang berpotensi, juga boleh menjadi sumber tenaga.
“Itulah sebabnya air juga berada di bawah kementerian kita dan air juga boleh menghasilkan tenaga melalui pergerakan bahan kimia air seperti empangan kita, untuk pengangkutan dan air payau, boleh menjadi sumber bahan mentah untuk industri mikroalga kita dan industri lain jadi, anda boleh melihat rangkaian keseluruhan penggunaan air sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menerima kunjungan hormat daripada Singapore Water Association di pejabatnya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan SWA Michael Toh berkata, Singapura ketika ini menfokuskan kepada kecekapan tenaga dan penyahkarbonan dan berharap dapat belajar bersama Sarawak dalam perkara terbabit.
Katanya, Singapura kini dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil, dengan cuba memanfaatkan teknologi baharu boleh diperbaharui dan berharap dapat menjalin hubungan baik serta kerjasama jangka panjang bersama Sarawak dalam aspek tersebut.
“Seperti di Singapura, kami banyak menumpukan pada kecekapan tenaga, penyahkarbonan jadi, kami memulakan perjalanan kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami dari Sarawak untuk belajar beberapa kemungkinan ini. Kerana cabaran kita agak serupa.
“Kami juga mencuba mengurangkan permintaan terhadap bahan api fosil, dengan cuba memanfaatkan teknologi baharu yang boleh diperbaharui.
“Kami mengharapkan hubungan jangka panjang dan kerjasama dengan rakan dan rakan kongsi kami dari Sarawak,” jelasnya. -TVS