MIRI, 14 April: Keunikan sambutan perayaan di Sarawak terletak pada keharmonian dan kerjasama erat antara rakyat berbilang kaum yang sentiasa meraikan satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Persatuan Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) merupakan tempat yang indah dan sesuai untuk mempamerkan keharmonian Sarawak.
“Sarawak berkembang dengan cara yang unik kerana kita hidup dalam suasana harmoni. Dan hari ini, kita berada di sini bersama-sama menyambut Aidilfitri sebagai satu komuniti,” katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE), Miri, hari ini.
Beliau turut menyifatkan pusat komuniti yang menjadi lokasi sambutan tersebut sebagai satu pusat penting yang menjadi lambang perpaduan masyarakat di bandar raya ini.
“Saya sangat gembira berada di sini hari ini. Pusat ini sangat penting. Ia menjadi tempat pertemuan pelbagai komuniti. Anda duduk di sini, anda akan rasa selesa, anda akan rasa diterima,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan warga emas berusia 60 tahun ke atas untuk memanfaatkan inisiatif Kerajaan Sarawak seperti program Perlindungan Kesihatan Warga Emas di bawah Senior Citizen Health Benefits (SCHB) serta inisiatif Kenyalang Gold Card. – TVS