GAZA, 14 April: Penganut Kristian di Gaza memperingati Palm Sunday pada Ahad di Gereja Ortodoks Greek Saint Porphyrius, hanya beberapa jam selepas serangan udara Israel yang menyasarkan Hospital Al-Ahli Baptist, mengakibatkan kemusnahan jabatan kecemasan dan kerosakan pada bahagian lain.
Perayaan keagamaan yang menandakan permulaan Minggu Suci menjelang sambutan Easter itu berlangsung dalam suasana suram, menurut agensi berita Palestin (WAFA).
Keceriaan jelas tidak terpancar pada wajah penganut Kristian terutamanya kanak-kanak yang biasanya menyambut hari itu dengan pakaian perayaan dan perarakan lilin. Sebaliknya, peristiwa itu dibayangi oleh serangan dahsyat ke atas kemudahan perubatan yang terletak hanya beberapa ratus meter dari gereja berkenaan.
Gereja Saint Porphyrius, yang tertua di Gaza, terletak di kawasan kejiranan Al-Zaytoun dan dinamakan sempena nama biskop abad ke-5, Saint Porphyrius, yang turut dikebumikan di situ. Walaupun mempunyai kepentingan sejarah dan kerohanian, sambutan tahun ini hambar berikutan pencerobohan Israel yang berterusan.
Terdahulu pada hari itu, pesawat tentera Israel membedil bangunan kecemasan dan penerimaan pesakit Hospital Al-Ahli Baptist, yang dikendalikan oleh Gereja Espicopal Anglikan di Baitulmaqdis.
Hospital itu mengalami kerosakan teruk dan kebakaran berlaku di beberapa jabatan, menyebabkan ia tidak lagi beroperasi. Gereja yang bersebelahan juga mengalami kerosakan yang besar dalam serangan itu, lapor WAFA.
Gereja Saint Porphyrius terletak kira-kira 230 meter di selatan Hospital Al-Ahli Baptist yang bermula pada abad ke-5 Masihi, berfungsi sebagai tempat ibadah utama bagi masyarakat Kristian Ortodoks Gaza. -TVS