KUCHING, 14 April: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengulangi komitmennya untuk terus memperjuangkan hak Sarawak dan mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah kepimpinan Yang di-Pertua PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Majlis Tertinggi PBB, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata perpaduan, kesetiaan terhadap parti serta cinta kepada Sarawak menjadi asas utama perjuangan parti itu sejak penubuhannya.
“Misi kita sebagai tunjang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah jelas iaitu membangun Sarawak, memperkasa rakyat dan mempertahankan hak kita sebagai rakan pengasas dalam Persekutuan Malaysia.
“Selagi hayat dikandung badan, selagi diberikan kekuatan dan kesempatan, saya akan terus berdiri bersama PBB bersama rakyat Batu Kawa dan bersama Sarawak untuk mempertahankan maruah kita dan membina masa depan kita bersama,” menurutnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 yang dianjurkan oleh PBB Cawangan Batu Kawa, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mengulas lanjut, Ahmad Ibrahim yang juga Ketua PBB Cawangan Batu Kawa menekankan bahawa Sarawak bukan sekadar sebuah negeri, sebaliknya sebuah wilayah yang memiliki kedudukan istimewa dalam Persekutuan Malaysia berdasarkan MA63.
“Sarawak adalah sebuah wilayah yang mempunyai sejarah sendiri, hak sendiri dan masa depan sendiri.
“Perjuangan kita untuk menuntut dan mempertahankan hak Sarawak akan terus diteruskan dngan keberanian, kebijaksanaan dan semangat yang tidak akan luntur,” jelasnya. – TVS