KUCHING, 14 April: Warga Sarawak digesa untuk memanfaatkan sepenuhnya fasiliti dan akses inisiatif Perkhidmatan Pintar yang disediakan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, NADI merupakan wadah ideal bagi rakyat, terutama warga setempat untuk meningkatkan taraf hidup dan memperkasakan kemahiran diri melalui pelbagai program dan latihan yang disediakan di pusat itu.
Malah, sambutan yang ditunjukkan oleh komuniti setempat di Kuching, membuktikan kepercayaan warga terhadap inisiatif NADI ini.
“Kedua-dua NADI Pending dan NADI Padungan mula beroperasi pada Oktober yang lalu dan walaupun baharu sahaja beroperasi dalam tempoh lebih kurang enam bulan, kedua-dua NADI ini sudah mampu menarik ahli-ahli dia antara 1,300 hingga 1,600 orang pengunjung.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua lokasi ini amat strategik dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada komuniti tempatan,” katanya pada sidang media sempena perasmian dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pending dan Padungan, di sini, hari ini.
Nie Ching turut memaklumkan kedua-dua NADI Pending dan NADI Padungan masing-masing menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi antara 300MBps hingga 800MBps dan 10 hingga 12 komputer riba bagi kegunaan ahli-ahli di NADI.
Selain itu, ia menawarkan latihan teknologi maklumat kepada penduduk setempat dengan tumpuan diberikan kepada pelajar golongan B40 dan peniaga serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
Malah, ia turut menyediakan saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan gula dalam darah.
Sehingga 31 Mac 2025, menerusi inisiatif Usahawanita NADI, pihaknya telah melahirkan lebih 3,390 usahawanita di seluruh negara.
Ujarnya, inisiatif NADI yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan seterusnya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini adalah bertujuan memperkasakan komuniti menerusi lima teras utamanya yang mencakupi aspek Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
Dengan penambahan dua premis terbaharu ini, Sarawak kini memiliki 156 NADI yang beroperasi di seluruh negeri. – TVS