BINTULU, 14 April: Majlis Kanak-kanak Bintulu menjadi platform penting dalam melatih kepimpinan serta memperjuangkan hak dan kebajikan kanak-kanak di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, penubuhan majlis itu selari usaha kerajaan Sarawak untuk memperkasa penyertaan generasi muda dalam proses pembuatan dasar serta mewujudkan komuniti yang inklusif, progresif dan peka terhadap suara kanak-kanak.
“Advokasi merupakan topik yang penting bagi Majlis Kanak-Kanak ini. Ertinya, mereka dapat berkongsi pandangan mereka dengan kita dan tidak perlu bertindak secara konfrontasi, kerana mereka sudah berada di dalam sistem ini.
“Mereka boleh menyuarakan pandangan supaya kita boleh menyemak, serta memikirkan semula selain menilai semula dasar-dasar yang ada. Mereka mengadvokasi hak dan kebajikan kanak-kanak dan pada masa yang sama mewakili semua suara adik-adik di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelantikan Ahli Majlis Kanak-kanak Bintulu yang berlangsung di Auditorium Wisma Bintulu pada Isnin.
Tambah beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, pendekatan awal dalam latihan kepimpinan ini penting untuk membentuk generasi muda yang lebih bijak dan peka terhadap isu-isu semasa.
“Sebahagian daripada peranan Majlis Kanak-Kanak ini termasuk menyediakan latihan komunikasi, kursus kepimpinan dan sebagainya. Ini semua latihan kepimpinan. Kita mulakan dari usia muda kerana kita mahu adik-adik ini jadi lebih bijak, lebih peka terhadap keselamatan, pendidikan, kesihatan, kesaksamaan dan kepelbagaian,” ujarnya.
Majlis Kanak-Kanak Bintulu dianggotai 21 orang ahli berumur antara 10 hingga 15 tahun dari pelbagai latar belakang kaum, agama dan sekolah.
Antara peranan utama majlis tersebut termasuk mengadvokasikan hak kanak-kanak, mewakili suara rakan sebaya, membangunkan bakat kepimpinan, meningkatkan kesedaran sosial serta memupuk kemahiran penyelesaian masalah dan inovasi.-TVS