KUCHING, 14 April: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperkukuh hubungan diplomatik menerusi sokongan menyeluruh terhadap penganjuran acara berkaitan ASEAN di wilayah ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamad Zin berkata, sumbangan Kerajaan Sarawak bukan sahaja dalam bentuk logistik dan hospitaliti tetapi turut merangkumi usaha menonjolkan elemen tempatan kepada delegasi antarabangsa, termasuk makanan tradisional dan produk budaya di wilayah ini.
“Kerajaan Sarawak telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada Kementerian Luar, khususnya dalam menjayakan pelbagai mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Kuching.
“Bantuan dari aspek logistik, kemudahan tempat mesyuarat dan layanan hospitaliti yang menampilkan keunikan Sarawak amat kami hargai,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Ujarnya, penglibatan aktif Sarawak dalam penganjuran mesyuarat ini turut membuka ruang dan peluang kepada rakyat tempatan untuk lebih mengenali ASEAN serta meningkatkan kesedaran tentang kerjasama serantau.
Ia termasuk komponen tempatan seperti hidangan etnik, kraf tangan dan budaya yang dipamerkan kepada tetamu ASEAN secara tidak langsung memperkenalkan Sarawak kepada rantau ini, dan dalam masa yang sama menghubungkan masyarakat tempatan dengan komuniti antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara Kementerian Luar dan Kerajaan Sarawak akan terus diperkukuh, khususnya dalam menyokong sebarang urusan diplomatik negeri ini di luar negara.
“Kami di Kementerian Luar sentiasa komited untuk membantu dan memfasilitasi segala bentuk lawatan rasmi oleh Kerajaan Sarawak, sama ada melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Premier Sarawak, menteri atau pegawai kanan ke luar negara,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai sidang mesyuarat ASEAN yang dipenegrusikan oleh Malaysia, beliau mendedahkan Kuching telah dipilih sebagai lokasi bagi 19 mesyuarat bagi tahun ini dengan tujuh sudah berlangsung setakat ini.- TVS