Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Jabatan Premier Sarawak di Kuching, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Kerajaan Sarawak fokus pada penyesuaian dasar ekonomi, tangani perang tarif

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 14 April: Ketidaktentuan ekonomi global, termasuk perang tarif antara kuasa besar dunia turut memberi kesan kepada Sarawak, meskipun tidak secara langsung.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian, menambah, Sarawak perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini agar terus kekal kompetitif dan relevan di pasaran dunia.

Jelasnya, perang tarif yang melanda beberapa negara besar kini memberi impak besar terhadap ekonomi global, menyebabkan harga minyak dan komoditi lain terjejas.

“Umpamanya, disebabkan oleh ketidaktentuan ini, harga minyak turun dan harga bahan komoditi juga terjejas. Hari ini, harga minyak berada sekitar US$65 setong, sedangkan kita jangkakan ia berkisar antara US$85 hingga US$90. Ini memberi impak yang besar kepada kita dan impaknya ialah mungkin ia akan menjejaskan pendapatan kita.

“Kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan situasi yang tidak menentu ini walaupun kita tidak mengeksport secara langsung ke Amerika Syarikat, namun keadaan yang berlaku di sana memberi kesan kepada ekonomi kita secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Jabatan Premier Sarawak 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur asas, digitalisasi dan sektor-sektor ekonomi utama seperti tenaga hijau dan pertanian, menjadi lebih relevan dalam menghadapai ketidaktentuan ekonomi global.

“Di bawah RMK13, pada tahun 2027, kita tidak lagi banyak berbelanja untuk membina jambatan dan jalan kerana ia telah diselesaikan.

“Sebaliknya, kita akan menggunakan lebihan hasil pendapatan untuk menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk sektor pertanian, selain daripada sektor minyak dan gas, serta dua projek mega iaitu lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam yang baharu,” ujarnya.

Justeru, beliau yakin bahawa dengan kerjasama yang kukuh dan penyesuaian yang tepat terhadap dasar-dasar ekonomi, Sarawak akan terus berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pembangunan 2030, walaupun dalam keadaan ekonomi global yang penuh ketidakpastian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan