SEPANG, 14 April: Kemenangan duo badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 memberikan semangat baharu kepada pasangan itu untuk terus mempertingkatkan prestasi mereka bagi kejohanan akan datang.
Wooi Yik berkata, kemenangan ini merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja buat negara, tetapi juga buat mereka berdua kerana sudah lama tidak memenangi sebarang kejohanan.
“Kami sangat bersyukur dengan tunjuk ajar jurulatih Herry Iman Pierngadi kerana beliau banyak memperbaiki perkara-perkara kecil dalam permainan kami, selain menerapkan teknik ‘no lifting’.
“Kami berpuas hati dengan pencapaian kali ini, namun masih banyak yang boleh kami pelajari daripada beliau,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Aaron turut berkongsi sentimen yang sama dan menjelaskan bahawa mereka telah berusaha keras dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menyesuaikan diri dengan latihan baharu daripada Herry.
“Corak permainan yang lebih agresif adalah antara strategi jurulatih dan ia terbukti berkesan dalam menghadapi pasukan lawan yang kuat dari China.
“Namun begitu, saya dan Wooi Yik bersama jurulatih masih mencari rentak terbaik bagi kejohanan-kejohanan akan datang,” ujarnya.
Mengulas mengenai Piala Sudirman, Aaron berkata tumpuan tidak akan diberikan kepada individu tertentu, sebaliknya kepada kekuatan keseluruhan pasukan.
Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi, sekaligus menjadi beregu Malaysia pertama memenangi gelaran itu sejak pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada tahun 2007.
Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai USD37,000 (kira-kira RM164,000), manakala Bo Yang-Liu Yi menerima USD17,500 (kira-kira RM77,000) selaku naib juara. – TVS