KUCHING, 14 April: Kerajaan Brunei Darussalam menyatakan komitmen padu terhadap inisiatif kerajaan Sarawak untuk menghidupkan semula Sukan Borneo yang dijadualkan pada 24 hingga 28 September 2025.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad yang turut hadir dalam mesyuarat persediaan Sukan Borneo 2025 bersama wakil-wakil dari wilayah dan negara di Borneo.
“Kami ingin merakamkan sokongan padu pada inisiatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan juga Kerajaan Sarawak kerana mengembalikan semula Sukan Borneo.
“Kita percaya pelaburan melalui sukan akan membawa pulangan yang hebat untuk generasi muda di antara semua wilayah-wilayah di Borneo.
“Potensinya amat besar untuk kita bukan sahaja merapatkan jurang silaturahim tetapi peluang untuk berkolaborasi antara generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Pejabat Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan langkah menghidupkan semula Sukan Borneo sebagai titik permulaan kepada kerjasama serantau yang lebih menyeluruh melalui pendekatan diplomasi sukan yang berupaya menjadi jambatan menghubungkan budaya, belia dan komuniti.
Brunei turut menyambut baik pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah edisi pemula Sukan Borneo 2025 dan bersedia untuk bekerjasama dalam aspek teknikal, penyertaan serta pengurusan acara. – TVS