MIRI, 14 April: Seorang lelaki dewasa bersama anak perempuannya dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan, Long Jekitan, Ulu Baram menggunakan kenderaan pacuan empat roda, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, dua beranak terbabit yang menaiki pikap jenis ‘single cab’ cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Beliau berkata, bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai dari Ibu Polis Daerah (IPD) Marudi pada jam 12 tengah hari ini.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Dawellies Luing, 46, yang merupakan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan, dan anak perempuannya, Vallerie Mentie Dawellies, 9 tahun.
“Pasukan bomba akan bergerak ke lokasi kejadian pada jam 6 pagi esok (15 April) bagi melaksanakan operasi pencarian.
“Perjalanan ke lokasi dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 jam kerana hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui laluan balak dan sungai,” katanya. – TVS