KUCHING, 13 April: Tarif elektrik di Sarawak kekal, demikian menurut Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Dato Ibrahim Baki.
Menurutnya, kemampuan Sarawak dalam menghasilkan sumber tenaga elektrik sendiri selain keuntungan dari hasil pembangunan ekonomi negeri ini adalah faktor tarif elektrik tidak dinaikkan.
Malah, beliau turut menyatakan bahawa tarif elektrik yang terdapat di Sarawak jauh lebih rendah berbanding tarif elektrik di Asia Tenggara.
“Kita menghasilkan tenaga elektrik dan kita mengenakan tarif elektrik untuk kawasan perumahan (adalah) yang terendah di nusantara berbanding negara Indonesia, Jakarta, Sabah dan kita akan kekalkannya sebagai (tarif) yang terendah.
“Di Sarawak tidak akan naik, selagi saya menjadi Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), kita akan cari keuntungan lain untuk menampung sebahagian kos tarif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapa pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Zon 1, N8 Satok di Dewan Datuk Amar Hajah Jumaani, SK Rakyat Bolhassan di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan tarif elektrik di Semenanjung dijangka meningkat dari 39.95 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh) kepada 45.62 sen kWh, bermula Julai ini.
Laporan itu turut menyatakan bahawa peningkatan 14 peratus itu adalah di bawah tempoh Regulatori Keempat (RP4) yang bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2027, menggantikan RP3 yang berlangsung dari tahun 2022 hingga 2024.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata Sarawak berpotensi tinggi dalam penjanaan tenaga hijau.
Menurutnya, potensi ini dapat dilihat dari inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penghasilan jumlah tenaga hijau dalam Projek Penyimpanan Tenaga Hijau (PHES) yang dilaksanakan menerusi Loji Hidroelektrik di Empangan Bakun dan Murum.
“Kita nak tambah produksi (penghasilan) tenaga kita supaya kita dapat menjadi Asian Battery of Asia.
“Kita beruntung kerana di Malaysia kita mempunyai loji hidroelektrik di (empangan) Bakun dan Murum yang membekalkan tenaga hijau kepada kita dan ini adalah perniagaan kita,” katanya. – TVS