LAWAS, 13 April: Seorang wanita warga emas cedera selepas dihempap almari dalam kejadian rumah runtuh di Kampung Banting di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.10 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.
“Kejadian membabitkan enam mangsa, lima mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki berjaya keluar dari runtuhan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Seorang wanita warga emas tidak dapat keluar kerana kakinya dihempap almari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan kaki mangsa daripada tersepit menggunakan spining board.
“Pasukan EMRS membuat perawatan awal dengan memasang C-Collar dan memeriksaan kecederaan lain.
“Mangsa seterusnya dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapat rawatan,” ujarnya.
Katanya, buat masa sekarang mangsa yang terlibat berpindah ke rumah saudara-mara terdekat. – TVS