LIMBANG,13 April: Sebuah pusat tahfiz bakal dibina di Kampung Palas dekat sini melalui peruntukan kerajaan negeri yang kini dalam peringkat rekabentuk.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembinaan pusat tahfiz itu amat dinanti dan diperlukan sebagai pilihan kepada murid Islam yang ingin melanjutkan pelajaran selepas Tahun Enam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, menambah kemudahan itu juga sebagai usaha memperkasa pembangunan intelektual belia Islam di Sarawak.
“Satu lagi yang menjadi kebanggaan kita adalah pembinaan pusat tahfiz yang diiktiraf iaitu di Kampung Palas dengan bantuan peruntukan kerajaan negeri dan kini dalam proses rekabentuk.
“Melalui kemudahan ini, murid tamat Tahun Enam boleh memilih sama ada ke sekolah kebangsaan atau Tahfiz Antarabangsa di Kuching dengan silibus diiktiraf,” katanya berucap pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Limbang (JTPIL) di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Limbang yang juga pengerusi JTPIL Sulaiman Engal dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang merangkap Timbalan Pengerusi JTPIL Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely.
Dr Abdul Rahman berkata kerajaan negeri menyediakan pendidikan kepada rakyatnya menerusi dasar pendidikan holisitik yang bermatlamat menyediakan bukan hanya pendidikan keduniaan semata-mata, sebaliknya sepanjang hayat sebagai persiapan untuk akhirat.
Beliau turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan era kecerdasan buatan (AI) dengan kebaikan dan dipandu oleh nilai dan tradisi Isla, dan bukan hanya berteraskan model Barat. – TVS.