MIRI, 13 April: Pelan pembangunan jangka panjang di kawasan Beraya akan memberi manfaat besar kepada penduduk kampung sekitar termasuk Bakam yang bakal menjadi pintu masuk kepada bandar pelancongan di bandar peranginan tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, projek pertama di bawah pelan induk Beraya adalah pembinaan sebuah sekolah antarabangsa yang dijangka membuka peluang kepada pembangunan pendidikan bertaraf global di kawasan utara Sarawak.
“Kita juga berharap dengan sokongan daripada Datuk Dr Ripin Lamat, satu pusat konvensyen berskala besar dapat diwujudkan di Miri untuk menjayakan acara bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 di Masjid Darul Khairat Bakam, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara fokus utama pembangunan Beraya termasuklah penempatan dan perumahan mampu milik bagi generasi akan datang memandangkan tanah kampung kini semakin terhad.
“Ramai dalam kalangan saudara-mara kita memerlukan tempat tinggal, dan melalui Beraya Township ini, kita berharap rumah mampu milik dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau turut menyentuh inisiatif pendidikan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu bantuan pendidikan percuma kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2026.
“Pendidikan percuma akan diberikan kepada pelajar yang mengambil jurusan berasaskan sains seperti kejuruteraan, serta bidang kritikal lain seperti perakaunan dan undang-undang,” ujarnya.