Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pendidikan (KPM) tegas menangani isu salah laku seksual dalam kalangan pelajar di semua institusi pendidikan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Foto hiasan Envato

KPM tegas tangani isu salah laku seksual dalam kalangan pelajar – Fadhlina

ByBernama

TAIPING, 13 April: Kementerian Pendidikan (KPM) tegas menangani isu salah laku seksual dalam kalangan pelajar di semua institusi pendidikan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata KPM juga bekerjasama dengan pihak berwajib merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan isu-isu termasuk keselamatan siber ditangani dengan sebaiknya.

“Oleh itu, sekiranya terdapat dakwaan salah laku, ia perlu disiasat dan tindakan tegas perlu diambil berdasarkan garis panduan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dilaporkan berkata sekolah swasta perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) lebih baik dalam mendepani situasi salah laku seksual, termasuk aduan kes gambar lucah yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Teo mengulas mengenai insiden penyebaran gambar lucah pelajar wanita yang disunting dan dijual di media sosial di sebuah sekolah menengah swasta di Kulai, Johor baru-baru ini dan beliau difahamkan pentadbiran sekolah berkenaan telah dimaklumkan berhubung isu itu sejak tahun lepas.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar memaklumkan pihaknya menerima 22 laporan polis berhubung kejadian itu setakat hari ini, dengan suspek iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan reman sehingga Selasa depan.

Kes itu terbongkar selepas seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membuat laporan polis setelah mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial dan suspek dipercayai menjual gambar yang disunting berkenaan dengan harga serendah RM2 sekeping. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan