KUCHING, 13 April: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassasah Malaysia kekal pada kadar RM33,300 bagi musim Haji 1446H/2025M.
Perkara itu dimaklumkan wakil pengurusan tertinggi TH, Shamsul Kamal pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sarawak, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini pada Sabtu.
“Kos haji pada tahun ini kekal RM33,300 setelah mengambil kira kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), caj perkhidmatan Arab Saudi serta pembangunan di Mekah dan Madinah,” katanya dalam ucapan perasmian.
Menurutnya, Tabung Haji terus komited dalam menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.
“Walaupun dengan pelbagai cabaran pada setiap tahun, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan di tahap tertinggi demi kebajikan, keselesaan serta keselamatan para jemaah haji Malaysia,” ujarnya.
Katanya lagi, kos yang ditanggung oleh TH melibatkan penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan dan pelbagai caj pihak ketiga di Tanah Suci serta kos tidak langsung seperti kursus-kursus haji yang sedang dijalankan di seluruh negara.
Selain aspek kebajikan dan logistik, menurut Shamsul TH juga memberi penekanan terhadap aspek bimbingan ibadat, termasuk melalui penyediaan Pembimbing Ibadat Haji terlatih di Makkah dan Madinah serta penganjuran program-program ceramah dan ulang kaji ilmu ibadat haji.
Tambah Shamsul, TH turut memperkenalkan tiga platform utama iaitu aplikasi THHujjaj, platform e-Bimbingan, dan sistem e-TAIB bagi memudahkan akses kepada maklumat dan bimbingan secara dalam talian sepanjang musim haji.
Kursus Perdana Haji selama dua hari itu merupakan sebahagian daripada persediaan intensif terakhir sebelum para bakal haji berlepas ke Tanah Suci, dan dijangka melibatkan penyertaan sekitar 800 bakal jemaah dari sekitar Zon Selatan Sarawak (Kuching dan Sri Aman).
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak. – TVS