PULAU BRUIT (DARO), 13 April: Jumlah projek pembangunan yang banyak menyebabkan tugas dan gerak kerja yang padat dihadapi agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata beliau amat memahami situasi ini kerana maklum tentang jumlah permohonan dan kelulusan projek oleh wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama di luar bandar meningkat setiap tahun.

“Kita juga memahami bahawa kawasan sesebuah daerah dan bahagian di Sarawak hampir seluas sebuah negeri di Semenanjung Malaysia.
“Saya turut difahamkan bahawa kesemua agensi-agensi kerajaan yang penting ini sedang agresif menambah pegawai-pegawai teknikal di peringkat daerah dan bahagian,” katanya.
Beliau diminta mengulas tentang pelaksanaan projek pembangunan di kawasannya pada Program Ramah Tamah Aidilfitri DUN Semop di sini, hari ini.
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri itu diadakan di 12 kampung di Pulau Bruit dan Bintangor yang bermula 11 April lepas.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop dalam masa sama berharap masyarakat sentiasa bersabar kerana kerajaan GPS di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat serius dalam usaha membangun kemudahan infrastruktur di seluruh Sarawak terutama di kawasan pedalaman.
“Saya sering diajukan oleh pemimpin masyarakat dan penduduk tentang status projek (di kawasan saya) kerana beberapa projek seperti menaik taraf benteng dan sistem saliran air berstatus kritikal yang memerlukan perhatian serta tindakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk Pulau Bruit sahaja, 11 projek yang dipohon dan peruntukan RM90 juta masih menunggu tindakan dan pelaksanaan oleh agensi-agensi berkaitan.
Projek-projek tersebut melibatkan pembinaan kemudahan awam seperti empat masjid, dua dewan, jalan raya, jeti nelayan dan menaik taraf benteng.
Manakala untuk kawasan lain dalam DUN Semop, selain dari projek-projek kecil dan sederhana, ada tujuh projek berperuntukan tinggi bernilai RM296juta masih menunggu pelaksanaan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Sebahagian besar projek-projek tersebut adalah permohonan dan peruntukan yang diluluskan dalam tempoh kira-kira setahun yang lepas,” katanya.