SIBU, 13 April: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menunggang secara melulu dan berbahaya menerusi Operasi Samseng Jalanan khas di Jalan Awang Ramli Amit yang merupakan lokasi tumpuan mat rempit yang menjadikannya trek lumba tidak rasmi setiap hujung minggu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata mereka yang berumur antara 18 hingga 27 tahun itu ditahan menerusi operasi pada malam Sabtu.
“Ketiga-tiga remaja tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Tiga motosikal turut ditahan di bawah Seksyen 60 akta sama bagi tujuan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkipli, operasi yang dijalankan dari jam 10 malam hingga 1.30 pagi di sekitar Jalan Awang Ramli Amit dan Dataran Sibu itu turut menyaksikan sebanyak 23 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising, tiada cermin pandang belakang, brek rosak, ketiadaan perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan serta kegagalan mempamerkan pelekat ‘P’.
Ujarnya, kegiatan samseng jalanan ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Kami mengingatkan orang awam khususnya golongan muda agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Ibu bapa juga disarankan agar lebih peka terhadap pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka, terutamanya pada waktu malam hujung minggu,” tegurnya.
Beliau menegaskan, polis tidak akan berkompromi dan akan terus mempertingkatkan operasi seumpamanya di kawasan panas termasuk Jalan Ramli Amit yang kini menjadi tumpuan mat rempit.
“Jalan raya bukan tempat untuk berlumba. Kami akan terus mengambil tindakan tegas demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – TVS