KUCHING, 13 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa sedih atas pemergian seorang tokoh wanita berpengaruh dari komuniti Orang Ulu, mendiang Datin Seri Devong Anyie yang banyak menyumbang kepada pembangunan sosial dan pendidikan di kawasan pedalaman, khususnya di Belaga.
Abang Johari menyifatkan mendiang sebagai seorang wanita luar biasa yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan masyarakat Orang Ulu pada tahun 1980-an.
“Kita telah kehilangan seorang wanita, khasnya dari kalangan Orang Ulu yang telah melakukan banyak jasa dalam memberi penerangan dan kesedaran kepada komuniti ini.
“Saya sendiri berpeluang bekerjasama dengan beliau di Belaga ketika saya menjadi Timbalan Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi mendiang Devong di kediaman keluarganya, Tajang Family Residence, hari ini.
Abang Johari turut mengimbas kembali bagaimana mendiang aktif menjalankan kerja-kerja sosial dan menyampaikan mesej tentang kepentingan pendidikan kepada penduduk luar bandar.
“Beliau banyak melakukan kerja sosial dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pendidikan. Inilah legasi beliau dalam pembaharuan sosial, khususnya dalam komuniti Orang Ulu di Belaga,” katanya.
Mendiang dikenang sebagai individu yang berjasa dalam memperjuangkan hak dan pembangunan komuniti luar bandar, terutama dalam aspek pendidikan dan peranan wanita dalam masyarakat.
Devong juga merupakan ahli lama dalam SABATI yang menyaksikan beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif.
Upacara penghormatan terakhir kini diadakan di kediamannya di No. 79, Elopura Villa, Bukit Antu, Jalan Batu Lintang Lima dan akan berlangsung sehingga pagi 14 April.
Antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Industr Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben.
Selepas upacara tersebut, jenazah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Uma Nyaving, Skim Penempatan Semula Bakun, Belaga untuk disemadikan. – TVS