KUCHING, 13 APRIL: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Bersama Agensi 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ketibaan beliau pada jam 12.15 tengah hari disambut mesra oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi bersama warga kementerian serta agensi-agensi berkaitan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kemesraan itu turut menyantuni anak-anak dari Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM).
Dalam majlis tersebut, Abang Johari turut berkesempatan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang penerima dari PERYATIM, sebagai simbol keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap golongan memerlukan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Majlis ini turut dihadiri kira-kira 3,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat.