MIRI, 12 April: Orang ramai dijemput menyertai Forum Sarawak Lestari bertemakan ‘Pertumbuhan Inklusif: Tiada Siapa yang Ketinggalan’ pada Rabu, 16 April ini di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri.
Menurut Pustakawan Negeri Sarawak Miri, Dorithy Dela Lawrence, program ini bertujuan memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat tentang kepentingan menyokong pembangunan inklusif yang tidak meminggirkan golongan autistik, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak.
“Melalui forum ini, adalah menjadi harapan kita agar masyarakat akan menjadi lebih terbuka, peka, dan menyokong usaha untuk tidak meminggirkan sesiapa, sejajar dengan prinsip ‘Tiada Siapa yang Ketinggalan’ dalam pembangunan Sarawak yang lestari dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan media.
Forum ini juga akan menampilkan dua orang ahli panel yang giat menjalankan advokasi untuk hak sama rata bagi individu autistik iaitu ahli Malaysia Swimming Teacher Association (MTSA) yang juga Pengarah Hawary Sports Center, Hamlatul Hawary Azizan, serta Pakar Psikologi Klinikal dari Pusat Perubatan Columbia Asia, Dr. Diana Wee Yuen Suan.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara atas talian melalui pautan yang disertakan: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfdmgubNP3_lQBcDHFKlSesD2E00ZvvjsRVNzf8xmdRCm1cfg/viewform?usp=pp_url atau mengimbas kod QR yang disediakan dalam poster rasmi forum. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 085-422 525 atau melalui platform media sosial rasmi Pustaka Negeri Sarawak, Miri. –TVS