ASAJAYA, 12 April: Pembinaan Tebingan Sungai Tambirat fasa kedua sepanjang satu kilometer dijangka akan mula dilaksanakan pada pengunjung tahun ini.
Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaksanaan projek itu ketika ini masih dalam peringkat awal membabitkan penetapan tender kerja dan pemilihan kontraktor untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Masih dalam peringkat awal lagi (Fasa Kedua Projek Tebingan Sungai Tambirat) tapi kosnya kalau tak silap saya adalah lebih kurang antara RM130 juta hingga RM150 juta untuk fasa kedua itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya di Dewan Pancha Delima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajah Laila Taib di sini, pada Sabtu.
Tambah Abdul Karim, laporan siasatan insiden kerosakan yang berlaku ketika dalam pembinaam bagi pada projek fasa pertama Tebingan Sungai Tambirat sudah siap sepenuhnya bulan lalu.
“Saya difahamkan baru bulan lepas ia selesai dan apa yang berlaku selepas itu ia ada siasatan dalaman dan sebagainya.
“Ini bagi menentukan sama ada terdapat kecacatan yang berlaku apabila binaan di buat atau sebaliknya,” katanya.
Pembinaan fasa pertama Tebingan Sungai Tambirat sebelum ini tergendala selepas salah satu kawasan di tapak terbabit runtuh.
Siasatan insiden terbabit telah dijalankan oleh pihak terlibat bagi mengenal pasti punca keruntuhan itu berlaku sama ada disebabkan faktor semula jadi atau masalah teknikal yang lain.
Projek itu yang sepatutnya disiapkan pada penghujung tahun lalu tergendala dari jadualnya susulan insiden terbabit.
Projek Tebingan Sungai Tambirat itu dilaksana oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) denga fasa pertama pelaksanaanya dijadualkan tahun lalu sekali gus menelan kos lebih RM20 juta.-TVS