Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini, hari ini. Foto Anwar Ibrahim (FB)

Malaysia lakar sejarah pertama kali anjur sidang kemuncak ASEAN-GCC, turut jemput China – PM

ByBernama

BACHOK, 12 April: Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) melibatkan semua negara ASEAN dan enam negara Teluk, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sidang kemuncak itu akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

“Alhamdulillah kerana sistem kita ini, keamanan kita dan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik, (kita) telah mendapat perhatian dunia, untuk mengadakan sidang ini,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga telah menjemput China bagi menghadiri sidang kemuncak itu dan jemputan tersebut jelas menunjukkan sikap terbuka Malaysia dengan semua negara demi menjaga kepentingan rakyat.

“Insya-Allah akhir bulan Mei, Malaysia akan catat satu lagi sejarah. Kali pertama kita anjur sidang ketua-ketua negara ASEAN bersama ketua Negara-negara Teluk, maksudnya negara Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Oman.

“..maksudnya kita adakan persidangan ASEAN-GCC dan kita juga jemput negara China dan ada kemungkinan besar Perdana Menteri China Li Qiang akan turut hadir.

“Kita tetap berkawan dengan semua negara jiran kita, dan tetap jaga kepentingan rakyat kita… rakyat mesti dapat peluang pekerjaan yang baik. Mesti dapat pelaburan baru. Kalau dari Amerika kita terima, dari Arab kita terima, dari China pun kita terima,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia kini menjadi antara rujukan oleh negara membangun dan maju terutama membabitkan ekonomi, sekali gus membuktikan dasar fiskal dan pentadbiran yang diguna pakai berada pada landasan tepat.

“Alhamdulillah ramai pemimpin negara luar menyatakan kekaguman mereka terhadap kestabilan ekonomi dan pelaburan di Malaysia.

“Kita bukan sekadar bercakap, tetapi telah menunjukkan hasil yang nyata menerusi pertumbuhan ekonomi dan kawalan inflasi yang baik,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan