Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Annuar (tengah) merakam gambar kenangan bersama kenamaan lain dan penjawat awam di bahagian Sibu. Foto TVS

Kerjasama penjawat awam, pemimpin kunci kejayaan pembangunan Sibu

SIBU, 12 April: Kerjasama erat antara penjawat awam dan para pemimpin merupakan elemen terpenting dalam memastikan segala perancangan pembangunan berjalan lancar dan memberi impak besar kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata perbezaan pendekatan bukanlah halangan sekiranya semua pihak kekal fokus terhadap amanah yang digalas.

“Walaupun kita mungkin tidak sehaluan dalam beberapa pendekatan, yang penting ialah hasil kerja tersebut memberi impak yang tinggi kepada kehendak rakyat. Itulah objektif, amanah dan peranan kita sebagai pemimpin dan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Berlanggar Meja Riang Ria Aidilfitri anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sibu di Kediaman Rasmi Residen Bahagian Sibu pada Jumaat malam.

Dr Annuar turut mengakui untuk memenuhi kehendak semua pihak bukan mudah namun dengan kerjasama berterusan dalam kalangan pemimpin dan jabatan kerajaan adalah kunci kelancaran segala urusan pentadbiran dan pembangunan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji penganjuran julung kali majlis berkenaan yang menghimpunkan lebih 5,000 warga jabatan kerajaan bersama keluarga.

“Saya mengesyorkan agar program seumpama ini turut dilaksanakan sempena perayaan lain seperti Gawai, Krismas dan Tahun Baharu Cina.

“Kita di Sarawak mengamalkan toleransi yang tinggi. Majlis seperti ini harus diteruskan untuk merapatkan hubungan dan mengukuhkan semangat perpaduan antara semua kaum dan jabatan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman pula berkata, majlis ini menjadi platform penting bagi mengeratkan hubungan antara warga kerja kerajaan negeri dan persekutuan yang hadir daripada 24 jabatan berbeza.

“Dengan kita saling mengenali dan berkumpul dalam suasana santai seperti ini, ia akan memudahkan urusan kerja serta mengelakkan salah faham atau stereotaip dalam melaksanakan tugasan bersama,” ujarnya.

Pelbagai juadah tradisional disediakan oleh jabatan-jabatan terlibat dan majlis turut diserikan dengan persembahan serta penyampaian sumbangan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee serta wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan