KUCHING, 12 April: PUSAKA terlibat dalam satu sesi pembentangan cadangan projek Pertanian Untuk Rakyat Sarawak (PUTRAS) yang telah diadakan di Wisma Bapa Malaysia, melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan entiti yang berkepentingan baru-baru ini.
Pembentangan dilakukan oleh Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Resources Sdn Bhd – merupakan bakal pemaju projek di kawasan Baram, yang melibatkan pembangunan kawasan seluas lebih kurang 49,000 hektar termasuk 8,300 hektar Tanah Adat (Native Customary Right – NCR).
Dalam sesi berkenaan, MCCF Resources Sdn Bhd telah memperincikan perancangan awal mereka bagi membangunkan kawasan Baram melalui pendekatan keterangkuman sosial, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi yang selaras dengan matlamat PCDS 2030.
Antara sektor utama yang digariskan dalam projek ini ialah pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan eko-pelancongan yang masing-masing dirancang untuk memastikan pembangunan jangka panjang yang mampan dan lestari di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Pengurusan Sumber Lestari, Hamzah Morshidi berkata, fokus utama pembentangan adalah pembangunan industri buluh yang dilihat sebagai pemacu utama atau “game changer” untuk Wilayah Utara Sarawak dan ekonomi baharu di kawasan Baram.
“MCCF Resources merancang untuk memperkenalkan program penanaman buluh secara berskala besar serta memajukan sektor hiliran berkaitan produk-produk berasaskan buluh.
“Projek ini turut menekankan kolaborasi strategik bersama PUSAKA dan komuniti tempatan dalam aspek penanaman, penuaian serta promosi industri buluh sebagai sumber ekonomi mampan,” jelasnya.
Hamzah turut menambah sebagai sebahagian daripada strategi pelaksanaan, pemaju juga akan menjalin kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta, termasuk dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi.
“Selain itu, pendekatan “contract farming” akan diperkenalkan bagi meningkatkan lagi pendapatan penduduk tempatan.
“Malah, cadangan pembinaan sebuah loji janakuasa biojisim (Biomass Power Plant) yang akan berfungsi sebagai pelengkap kepada industri buluh. Loji ini bukan sahaja akan menambah nilai kepada hasil buluh yang dituai, malah turut menyumbang kepada keperluan tenaga boleh diperbaharui bagi kawasan Baram, sejajar dengan aspirasi negeri ke arah ekonomi hijau,” katanya.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Lester Matthew, bersama wakil-wakil dari Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah (M-FICORD), Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan juga wakil komuniti di kawasan Baram.
Pembentangan tersebut menerima maklum balas yang positif daripada pihak EPU dan agensi berkaitan, yang menekankan kepentingan penyelarasan bersepadu antara pemaju, kerajaan dan komuniti setempat bagi menjamin kejayaan pelaksanaan projek ini.
Projek PUTRAS Baram dijangka menjadi model pembangunan luar bandar berasaskan komuniti yang berteraskan kemampanan dan inovasi. -TVS