Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Anak Perantau Simanggang (APS) dengan kerjasama Lembaga Amanah Masjid Simanggang, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Abang Johari cadang adakan forum ekonomi khas Sri Aman

KUCHING, 12 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan satu forum ekonomi khas diadakan bagi membincangkan potensi serta masa depan pembangunan ekonomi untuk Sri Aman.

Beliau berkata forum tersebut wajar menghimpunkan golongan intelektual, anak jati Sri Aman yang berjaya serta pakar dalam pelbagai bidang bagi meneroka peluang ekonomi baharu hasil pelaburan kerajaan negeri dalam pembangunan infrastruktur.

“Kita jangan hanya menjadi pemerhati. Kita mesti adakan forum ekonomi khas untuk bahagian Sri Aman bagi mengenal pasti dan meneroka peluang yang muncul hasil pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Saya menyeru kepada golongan intelektual dari Simanggang, jika masih belum mampu berfikir untuk berubah, itu sesuatu yang merugikan. Sebagai Ketua Kerajaan, saya telah mula menyediakan infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Anak Perantau Simanggang (APS) yang diadakan di Dewan Hikmah, Kuching, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi APS, Datu Kameri Affandi serta kira-kira 500 tetamu jemputan yang terdiri daripada anak-anak perantauan Simanggang bersama keluarga masing-masing.

Abang Johari turut menggesa anak-anak perantau dari Sri Aman agar kembali menyumbang idea dan kepakaran bagi memacu transformasi ekonomi kawasan tersebut.

Kerajaan Sarawak ketika ini sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur utama, termasuk pembinaan jalan pesisir, Jambatan Batang Lupar 1 dan 2, laluan dua hala dari Samarahan ke Sri Aman serta pembangunan kawasan tebingan (waterfront) ikonik yang bakal menjadi terpanjang di Sarawak.

Tambah beliau, pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja akan merapatkan hubungan antara kawasan pesisir dan pedalaman, malah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memajukan tanah mereka menerusi pertanian moden dan kegiatan ekonomi lain.

“Saya yakin kita boleh adakan Forum Ekonomi khas untuk Sri Aman dengan fokus terhadap peranan Sri Aman dalam era ekonomi baharu.

“Saya serahkan kepada orang Simanggang. Ramai intelektual di sana dan saya percaya ia mampu mengubah masa depan kita,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penganjuran forum ekonomi itu agar segala perancangan pembangunan dibuat selaras dengan potensi setempat khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan yang boleh dimajukan menggunakan teknologi moden. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan