KUCHING, 11 April: Penjawat awam di Sarawak digesa untuk mempraktik nilai integriti dan profesionalisme dalam membentuk dan memastikan pentadbiran organisasi yang telus, cekap serta berwibawa.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, penerapan kedua-dua elemen itu dalam setiap aspek tugasan akan menjadi panduan untuk mengelak sebarang isu penyalahgunaan kuasa atau kepentingan peribadi yang semakin menular pada masa kini.
Ujarnya, peranan yang dimainkan oleh ketua jabatan dalam tadbir urus organisasi juga penting terutama dalam memastikan setiap tindak-tanduk yang diambil mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Saya selaku Setiausaha Persekutuan Sarawak ingin menegaskan bahawa setiap penjawat awam, terutama penjawat awam persekutuan yang bertugas di Sarawak dan penjawat awam yang bertugas di mana-mana sahaja, untuk bersama-sama kita terus memperbaiki dan mengekalkan tahap penyampaian perkhidmatan penjawat awam kepada rakyat dan memperbaiki tahap integriti yang sedia ada.
“Ini selaras dengan ikrar penjawat awam semua, di mana dalam kita memegang jawatan ini, kita perlu mengekalkan tahap integriti yang sangat tinggi sehingga kita selesai ataupun apabila kita pencen kelak. Kita masing-masing perlu ingat akan sumpah kita terhadap penjagaan kerahsiaan dokumen-dokumen rasmi kerajaan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Mesra Madani Aidilfitri Setiausaha Persekutuan Sarawak bersama-sama warga Kompleks Persekutuan Kuching 2025 pada Jumaat.
Seramai lebih 2,000 warga kerja daripada pelbagai agensi di Kompleks Persekutuan Kuching hadir untuk memeriahkan majlis ramah tamah Aidilfitri itu.-TVS