BELAGA, 11 April: Seramai 45 penghuni rumah pekerja ladang kelapa sawit di sini hilang tempat tinggal selepas satu blok kediaman mereka musnah terbakar pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kebakaran tersebut memusnahkan 14 unit kediaman di satu blok.
“Kesemua penghuni seramai 45 orang terdiri daripada warganegara serta bukan warganegara telah berjaya menyelamatkan diri dan tiada melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihaknya menerima panggilan pada jam 4.06 petang dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga.
Pasukan itu tiba di lokasi kejadian pada jam 6.40 petang selepas menempuh perjalanan 112 kilometer yang turut merangkumi jalan balak.
“Tiada tindakan pemadaman dilakukan kerana api telah padam sepenuhnya setibanya pasukan bomba di lokasi,” katanya. -TVS