DEBAK, 11 April : Kejohanan basikal bukit di sini kini dijenamakan semula kepada Saribas Mountain Bike (MTB) Jamboree.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kejohanan berbasikal lasak itu pada edisi kali ini menjanjikan kelainan selain diadakan serentak bersama dengan Pertandingan Memanah Jemputan Antarabangsa Debak pada bulan September depan.
“Kali terakhir kita menganjurkan kejohanan lumba basikal di Debak ini ialah beberapa tahun kepas sebelum Covid-19 melanda.
“Untuk edisi kali ini kita cadangkan pada bulan September nanti serentak dengan penganjuran Pertandingan Memanah Jemputan Antarabangsa Debak,” katanya ketika ditemui Media selepas hadir ke Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Bungin 2025 di Dewan Pahlawan Tujuh disini pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, terdapat perbezaan dari segi laluan perlumbaan pada penganjuran kali ini berbanding sebelumnya.
“Kita ada mengubah daripada konsep yang sebelum ini kepada Saribas MTB Jamboree yang mana laluannya ada berbeza sikit, dan kita sasarkan penyertaan macam biasa daripada semenanjung, Brunei dan pernah dahulu kita mendapat penyertaan daripada Indonesia,” ujarnya sambil menambah agar jumlah penyertaan pada penganjuran kali ini mampu menyamai jumlah pada edisi sebelumnya. -TVS.