KUCHING, 11 April : SACOFA Sdn Bhd, penyedia utama perkhidmatan dan kemudahan telekomunikasi di Sarawak, hari ini secara rasmi membuka pintu pejabat korporat terbaharunya, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital negeri ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi yang menyifatkan pembukaan itu bukan sekadar pelancaran ruang baharu, malah meraikan legasi dan pengukuhan semula peranan strategik SACOFA sebagai pelopor perkhidmatan telekomunikasi negeri sejak penubuhannya pada tahun 2001.
“Untuk tempoh 25 tahun yang lalu, SACOFA telah berkembang menjadi tulang belakang landskap telekomunikasi Sarawak.
“Dengan lebih 1,688 menara merangkumi 1,250 menara komersial, pengurusan 438 tapak menara USP dan lebih 12,000 kilometer kabel gentian optik merentasi daratan Sarawak, SACOFA telah memastikan keterhubungan melepasi bandar hingga ke pinggir bandar, kawasan luar bandar dan koridor ekonomi,” katanya berucap pada majlis perasmian pejabat korporat SACOFA Sdn Bhd di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, infrastruktur tersebut bukan sekadar struktur keluli atau kabel gentian optik, tetapi turut berfungsi sebagai pemangkin kepada teknologi baharu seperti 5G dan inovasi masa depan, termasuk penggunaan mudah teknologi melalui kaedah ‘plug and play’.
Menerusi konsep perkongsian infrastruktur antara menara dan kabel ini, tambah beliau, syarikat telekomunikasi dapat memperluaskan rangkaian mereka secara kos efektif, tanpa dibebani perbelanjaan modal tinggi, cabaran geografi dan halangan peraturan.
“Lebih penting lagi, ia memungkinkan keterangkuman. Kerana kemajuan sebenar hanya berlaku apabila setiap rakyat, tanpa mengira lokasi, mempunyai akses kepada alat dan peluang dalam ekonomi digital,” tegas beliau.
Julaihi turut menegaskan kepentingan usaha berterusan antara Kerajaan Sarawak, Kementeriannya, Sarawak Multimedia Authority (SMA), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan SACOFA bagi memastikan perkhidmatan untuk digunakan di sekolah, klinik, rumah panjang dan perniagaan kecil.
“SACOFA memastikan semua usaha digital disokong oleh infrastruktur yang kukuh, boleh skala dan selamat, sebagai asas kepada transformasi sosioekonomi jangka panjang,” tambahnya.
Beliau turut menyentuh sumbangan ekonomi SACOFA melalui penciptaan peluang pekerjaan, pemberdayaan kontraktor tempatan serta sokongan kepada usahawan teknologi negeri.
“Dalam waktu krisis seperti banjir atau bencana alam, infrastruktur SACOFA turut memainkan peranan kritikal dalam memastikan komunikasi kecemasan tidak terganggu dan penyelarasan bantuan berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Dalam konteks kelestarian, beliau memuji pendekatan perkongsian infrastruktur SACOFA yang mengurangkan pertindihan, meminimumkan kesan alam sekitar dan menyokong nilai-nilai ESG.
Beliau turut mengiktiraf pelaburan awal SACOFA dalam infrastruktur kabel dasar laut, yang menjadi pemangkin kepada keupayaan Sarawak untuk menjamin keterhubungan antarabangsa, daya tahan jalur lebar dan kedaulatan data.
“Dengan usaha masa depan yang menghubungkan Sarawak ke Johor, Singapura, Batam, Brunei dan Kalimantan, Sarawak berpotensi menjadi koridor digital sebenar untuk Borneo dan Asia Tenggara,” ujarnya. – TVS