Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
OCHA memberi amaran bahawa pergolakan yang berterusan di seluruh Semenanjung Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam, mengancam keselamatan serta meragut peluang mereka untuk terus hidup. Foto fail AFP

OCHA beri amaran situasi orang awam di Gaza semakin parah

ByBernama

NEW YORK, 11 April: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran bahawa pergolakan yang berterusan di seluruh Semenanjung Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam, mengancam keselamatan serta meragut peluang mereka untuk terus hidup, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

“Terdapat laporan harian mengenai serangan Israel yang membunuh dan mencederakan ramai rakyat awam Palestin.

“Semalam sahaja di Bandar Gaza, dilaporkan berpuluh-puluh orang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak – selepas sebuah bangunan kediaman diserang. Ramai lagi masih hilang di bawah runtuhan,” menurut kenyataan itu.

OCHA menegaskan bahawa orang awam perlu dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya dijadikan sasaran, seperti dinyatakan oleh Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq dalam taklimat media harian di New York pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemajuan terhad dalam proses pemindahan pesakit dari Gaza.

“Semalam, seramai 18 pesakit dan hampir 30 orang pengiring dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan khusus di luar negara.

“Namun, sekitar 12,500 pesakit di Gaza masih menunggu untuk dipindahkan dan WHO menyeru agar semua laluan serta sempadan dibuka untuk tujuan itu,” menurut WHO.

OCHA turut mengulangi keperluan membuka semula lintasan sempadan bagi membolehkan bekalan kritikal memasuki wilayah itu.

Dalam pada itu, Haq memaklumkan bahawa lebih 60,000 kanak-kanak kini dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan, ketika dapur komuniti kehabisan bahan api dan bekalan makanan.

Rakan kongsi PBB juga mengenal pasti lebih 12 kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga pada minggu ini.

“Usaha sedang giat dijalankan untuk menyatukan semula mereka dengan keluarga masing-masing,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan