Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Mesyuarat pertama jawatankuasa teknikal Pusat Kanser Sarawak diadakan minggu depan

ByMuqri Aziz

KUCHING, 11 April: Mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal berkaitan pembinaan Pusat Kanser Sarawak dijadualkan berlangsung minggu depan, dedah Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Menurut Timbalan Premier Sarawak itu, mesyuarat tersebut akan disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memandangkan pembinaan hospital itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

“Ini adalah satu perkembangan positif dan saya akan mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu-isu teknikal berkaitan kelengkapan perubatan serta kekurangan pakar kesihatan.

“Bukan itu sahaja, saya juga akan membawa isu ketiadaan fasiliti kolonoskopi di Hospital Limbang yang memaksa pesakit untuk mendapatkan rawatan di Hospital Miri,” jelas Dr. Sim.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal peringkat Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.

Dr. Sim memberitahu kesedaran masyarakat terhadap kanser kolorektal perlu dipertingkatkan memandangkan penyakit itu kini merupakan kanser kedua tertinggi di Sarawak.

“Tahun lalu, buat pertama kalinya, lebih daripada 3,000 kes kanser telah didiagnosis di Sarawak. Jumlah ini meningkat setiap tahun. Bukan sahaja kita bercadang membina hospital kanser tetapi lebih baik jika kita boleh mencegah dan mengesannya lebih awal,” katanya.

Menurut beliau, golongan profesional kesihatan di Sarawak menunjukkan komitmen tinggi dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pencegahan penyakit tersebut.

Mengulas statistik semasa, Dr. Sim berkata, risiko untuk menghidap kanser kolorektal dalam kalangan lelaki adalah 1 dalam 69 manakala kanser payudara mencatatkan nisbah lebih tinggi iaitu 1 dalam 15.

“Dengan populasi Sarawak yang semakin menua, kita harus menjangkakan peningkatan kes kanser dan serangan jantung. Beban penyakit ini amat besar dan kita memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Jika doktor menunjukkan kasih sayang kepada anda, anda juga mesti menyayangi diri sendiri. Anda perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan anda,” tegas beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan