KUCHING, 11 Apr: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine yang dianggarkan bernilai hampir RM335,180 dalam satu operasi yang dijalankan awal Mac 2025 di Lapangan Terbang Miri.
Menurut Pengarahnya, Norizan Yahya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan JKDM dalam melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi membanteras jenayah penyeludupan di negeri ini.
“Pada 5 Mac 2025, kira-kira jam 1.10 petang, sepasukan pegawai dari Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) bersama Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bagasi tidak dituntut yang tiba sehari sebelumnya melalui penerbangan komersial dari Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan menemukan 10 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine, dengan berat kasar keseluruhan 10,138 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dadah berbahaya itu dipercayai cuba diseludup dengan cara menyembunyikannya di dalam bagasi bersama pakaian dan makanan, sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Norizan turut menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara. -TVS