KUCHING, 11 April: Kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus menunjukkan perkembangan pesat apabila jumlah hartanah meningkat secara mendadak daripada 66, 326 pada tahun 2017 kepada 81, 356 pada tahun 2024.
Pengerusi MPP Tan Kai berkata, lonjakan ini didorong oleh pembangunan rancak di kawasan seperti Pines Square, Batu Kawa dan Matang sekali gus menjadikan ia sebagai majlis perbandaran dengan jumlah hartanah tertinggi dalam bahagian Kuching.
“Pada tahun 2017, selepas pemindahan hartanah di Siburan kepada Majlis Daerah Serian, jumlah hartanah di bawah Majlis Perbandaran Padawan adalah sebanyak 66, 326. Pada tahun 2024, angka ini telah meningkat kepada 81, 356 hartanah.
“Daripada jumlah ini, hartanah kediaman merangkumi 91 peratus diikuti komersial (tujuh peratus) dan industri (dua peratus).
“Statistik ini membuka peluang besar untuk memperkembangkan lagi sektor komersial dan industri bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang serta mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Upacara Angkat Sumpah Bagi Ahli-Ahli MPP 2025 di sini hari ini yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Dalam perkembangan lain, Tan Kai berkata seiring dengan pertambahan penduduk dan keperluan perkhidmatan yang meningkat, MPP mensasarkan untuk menyiapkan pejabat baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Fasiliti ini akan menampilkan reka bentuk moden yang cekap tenaga, mesra alam dan menyokong pendekatan komuniti, sekali gus meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat.
Pejabat baharu ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, sosial dan komuniti, serta menyokong matlamat pembangunan dan kemajuan yang lebih menyeluruh.
Untuk rekod, ibu Pejabat MPP yang baharu bakal beroperasi bersebelahan Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan projek ini telah diluluskan pembinaannya pada 19 Ogos 2021. – TVS