Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Kanan Bahagian Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dr. Elena Gregoria Chai Chin Fern ketika ditemui TVS di Mercure Hotel Miri di sini, hari ini. Foto Ahnaf Tuah (TVS)

Jejak Warisan Miri kenal pasti 8 tapak, optimis laluan tingkat PKS

ByVanessa Enjop

MIRI, 11 April: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak kini giat memperkasakan pembangunan Jejak Warisan Miri (Miri Heritage Trail) bagi mengangkat warisan tempatan sebagai tarikan pelancongan utama yang berpotensi menjana peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setiausaha Kanan Bahagian di kementerian berkenaan, Dr. Elena Gregoria Chai Chin Fern, berkata pihaknya kini sedang menyelaras kandungan naratif bagi setiap lokasi yang dikenal pasti dalam laluan warisan itu.

“Tahun ini merupakan kali pertama kami melibatkan pasukan Jejak Warisan Miri secara langsung. Tahun lalu kami telah mengadakan dua sesi bersama agensi kerajaan tempatan seperti Pejabat Daerah, Pejabat Residen, Majlis Bandaraya Miri, serta kumpulan sejarah Miri yang sangat komited dan bersemangat,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.

Menurutnya sebanyak lapan tapak warisan telah dikenal pasti dalam laluan tersebut, namun atas inisiatif dan cadangan kumpulan sejarah tempatan, empat lagi tapak baharu dicadangkan untuk dimasukkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 lokasi warisan.

“Sekarang ini kami sedang menyusun dan menyatukan naratif untuk semua tapak tersebut agar kami dapat hasilkan brosur rasmi yang memperkenalkan Jejak Warisan Miri secara menyeluruh.

“Miri memang terkenal dengan acara dan festival, tetapi kami juga mahu orang ramai datang ke Miri untuk meneroka kekayaan warisannya. Setiap kumpulan etnik di Miri mempunyai keunikan tersendiri dalam makanan, kraf tangan dan amalan tradisi mereka,” ujarnya.

Tambahnya usaha mempromosi warisan boleh diwujudkan dengan lebih kreatif melalui penceritaan, persembahan seni di lokasi tertentu, serta penglibatan penduduk setempat sebagai pemandu pelancong atau penyedia produk kreatif.

“Sebagai contoh, jika kita bawa pelancong ke Makam Datuk Permaisuri, kita boleh aturkan persembahan kebudayaan di kawasan berhampiran seperti Kampung Jati Miriek. Ini bukan sahaja memperkenalkan tempat tersebut, tetapi mencipta peluang pendapatan untuk penduduk,” katanya.

Usaha Jejak Warisan Miri dijangka akan menjadi satu lagi inisiatif ikonik yang bukan sahaja memperkukuh identiti budaya Miri tetapi juga mewujudkan platform ekonomi baharu kepada komuniti tempatan melalui pelancongan berasaskan warisan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan